Imam Bukhari mampu hafal 600,000 hadis

Imam Bukhari mampu hafal 600,000 hadisIMAM Bukhari atau sebenarnya Abu Abdillah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin Al-Mughirah bin Bardazbah bin Bazzabah al-Ja'fy’, seorang ulama yang cerdas. Beliau mempunyai daya ingatan sangat kuat apabila mampu menghafal tidak kurang 600,000 hadis.

Ahli hadis terkemuka ini lahir pada Jumaat tanggal 13 Syawal 194 Hijrah atau 21 Julai 810 dan wafat pada 30 Ramadan 256 Hijrah atau 21 Julai 860, pada usia 60 tahun.

Kekuatan hafalannya pernah diuji ulama besar di Baghdad, Iraq, ketika Imam Bukhari baru berusia 25 tahun.

Suatu hari, Imam Bukhari yang masih muda itu diundang ke Iraq untuk menghadapi 10 ulama besar.

Dalam pertemuannya, setiap ulama mengemukakan 100 hadis yang diputarbelitkan susunan kata-katanya dan Imam Bukhari diminta membetulkannya.

Selepas 10 ulama itu habis berbicara, Imam Bukhari mula menjawab dan memperbetulkan semua 100 hadis yang sudah diputarbelitkan itu secara satu persatu.

Malah, dengan tenang ditunjukkannya bahagian yang keliru, secara urutan dan terperinci sesuai dengan pertanyaan yang dikemukakan kepadanya tanpa ada yang tercicir.

Sejak itu, Imam Bukhari diakui sebagai ahli hadis terkemuka.

Ketika berusia 16 tahun, beliau mampu menguasai pelbagai ilmu. Malah pada umur 18 tahun, dapat mengarang buku yang bermutu iaitu Qadhaya As-Shahabah wat-Thabi'in atau peristiwa hukum pada zaman sahabat dan thabi'in.

Sewaktu kecil, kehidupannya sangat menderita. Selain anak yatim, Imam Bukhari baru dapat melihat ketika berumur sembilan tahun. Tetapi berkat ketekunannya, beliau akhirnya menjadi ulama besar.

Satu keistimewaannya adalah kekuatan hafalannya. Di samping itu, beliau teliti dalam menyaring hadis Nabi Muhammad SAW yang beredar ketika itu.

Beliau mengembara dari kota ke kota untuk menyaring kebenaran hadis yang dihafalnya apabila hanya sekitar 7,000 hadis yang dinyatakan sah!

Karyanya yang paling masyhur adalah kumpulan hadisnya bertajuk Al-Jami'us Shahih al Mukhtasar al-Musnad min Ahaditsi Rasulillah atau disingkat Jami' Shah Bukhari apabila isinya memuatkan 7,275 hadis sahih.

Comments

Popular posts from this blog

Profile dan biodata Angkasa Band

Profil Vitalia Sesha Model Di Kasus Suap Daging Impor - Tercanggih

Talent Pilihan SlideGossip : Andrean Saputra