Atikah Memperincikan Dengan Perasaan
Suasana gawat di kota Mekah memaksa Rasulullah s.a.w berhijrah ke Madinah bagi mencari medan dakwah yang baru. Ditemani Abu Bakar as-Siddiq, dua sahabat ini memulakan perjalanan mereka. Selepas menyembunyikan diri di Gua Hira’ selama tiga hari dengan bekalan makanan yang dihantar oleh puteri Abu Bakar sendiri, iaitu Asma’, mereka berdua meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya iaitu Yatbrib (Madinah). Perjalanan mereka disertai dua orang rakan lain iaitu Amir bin Fuhairah dan Abdullah bin Uraiqith. Berempat mereka merentasi padang pasir, gunung-ganang serta merempuh ribut pasir atas satu misi agung. Mereka mesti sampai ke Madinah untuk meneruskan agenda menyebarkan Islam kepada penduduk di sana. Jika tidak, Islam akan mati tanpa sempat tersebar luas. Kekurangan makanan dalam perjalanan itu sama sekali tidak melemahkan semangat mereka. Begitu juga orang kafir Quraisy yang sedang memburu mereka sejak di Mekah lagi, tidak menerbitkan rasa gentar di jiwa. Suatu hari ketika rombongan kecil itu merentasi padang pasir yang panas, Rasulullah ternampak sebuah khemah yang tertegak di tengah padang pasir gurun sahara itu. Mereka mendekati dengan niat mahu meminta bantuan atau membeli makanan jika ada. Seorang wanita Arab menyambut kedatangan rombongan kecil itu. Dia adalah Ummi Ma’bad, seorang gembala kambing yang pemurah. Wanita ini bersama suaminya, Abu Ma’bad memang sengaja memasang khemah di tengahpadang pasir itu untuk membantu para kafilah yang lalu lalang. Selalunya melalui bantuan yang diberikan itu, pasangan suami isteri ini akan dibayar sedikit wang oleh para kafilah berkenaan.Rombongan Rasulullah tiba di sana dalam keadaan letih, lapar dan dahaga. Hasrat mereka untuk membeli daging dan kurma daripada wanita itu. Tetapi sayangnya ketika itu suami Ummi Ma’bad sudah keluar mengembala kambing di samping mencari pelanggan dari kalangan kafilah yang lalu di situ. Tiada apa-apa yang boleh Ummi Ma’bad jual kepada tetamunya yang sedang kelaparan itu.Rasulullah terpandang seekor kambing kurus yang tertambat di tepi khemah itu, lalu bertanya adakah kambing itu mempunyai susu untuk diperah. “Kambing itu terlalu lemah dan kurus, tuan. Tidak mungkin ia ada susu,” balas Ummi Ma’bad, agak hampa kerana gagal membantu tetamunya yang dalam kesusahan. Sebaliknya Rasulullah membalas, “tidak mengapa, bolehkah ibu benarkan saya memerahnya?”“Jika tuan fikir ia ada susu, maka perahlah,” wanita itu memberi kebenaran.Rasulullah mendekati kambing itu dan mengusapnya perlahan. Baginda berdoa, membaca nama Allah dan mula memerah susu kambing. Dengan kuasa Allah juga, susu kambing memancut laju dengan banyak. Susu itu diisi ke dalam mangkuk lantas diberikan kepada Ummi Ma’bad, kemudian kepada sahabatnya yang bertiga itu. Selepas mereka kenyang, barulah giliran baginda meminumnya. Kemudian baginda memerah semangkuk lagi dan menyerahkan kepada Ummi Ma’bad untuk dijadikan bekalan wanita itu.Rombongan itu mengucapkan terima kasih lalu meneruskan perjalanan ke kota Madinah. Ummi Ma’bad sama sekali tidak mengetahui bahawa dia telah bertemu dengan seorang lelaki mulia yang menjadi sebutan seluruh tanah Arab ketika itu. Sangkanya lelaki itu sama seperti lelaki dari kafilah lain yang pernah menyinggahi khemahnya sebelum ini.Tidak lama kemudian, Abu Ma’bad, suami wanita itu pulang bersama sekawan kambingnya yang kurus kerana tidak cukup makanan. Selepas melangkah masuk ke dalam khemah, dia agak terperanjat melihat semangkuk susu segar di sana. Lelaki itu terpinga-pinga kerana setahunya tiada seekor pun kambing mereka yang mempunyai susu kerana kesemuanya kurus tidak cukup makan.Ummi Ma’bad lalu menceritakan mengenai kedatangan rombongan kecil lelaki Quraisy ke khemah mereka tadi. Dia menyatakan kagumnya dengan lelaki itu. Katanya, lelaki itu punya sepasang tangan yang cukup berkat kerana dengan tangannya itulah lelaki itu berjaya memerah susu daripada kambing yang kurus itu. “Ceritakan bagaimana paras orang itu, Ummi Ma’bad,” pinta Abu Ma’bad.“Dia seorang yang pembersih, wajahnya bercahaya-cahaya, tingkah lakunya sangat baik, rupanya sangat cantik, matanya hitam, bulu keningnya lebat, suaranya garau, tengkuknya panjang, berjanggut lebat, berkulit kemerah-merahan, bercelak, betisnya panjang, jika berdiam diri dia sangat tenang, jika bercakap dia tinggi dan cemerlang, dia seorang yang amat cantik, kelihatan cerah dari jauh, kelihatan manis dan bagus dari dekat, dia seorang yang terlalu sempurna, punya teman-teman yang sayang kepadanya, jika dia bercakap semua mereka mendengar, jika dia menyuruh semua mereka menurut perintahnya,” demikian Ummi Ma’bad menerangkan sifat lelaki yang ditemuinya dengan begitu terperinci.Abu Ma’bad kagum mendengarnya, lalu membalas, “Demi Allah, orang itulah Si Quraisy yang selalu disebut-sebut di Mekah. Aku memang bercita-cita hendak mengikutnya. Jika aku ada peluang menurutnya, aku akan lakukan!”Mendengar kata-kata suaminya, Ummi Ma’bad tidak berlengah lagi. Ketika itu juga dia menyiapkan barang-barang keperluan dan kedua-dua suami isteri itu berangkat ke Madinah mengikut jejak Rasulullah. Di sana, mereka memberi baiat kepada baginda dan menjadi pengikut Islam yang setia. Sejak itu, nama Ummi Ma’bad atau nama asalnya Atikah binti Khalid al-Khuzaiyah tercatat dalam sejarah Islam kerana kebijaksanaan dan kefasihannya menerangkan sifat-sifat Rasulullah. Ungkapan yang digunakannya begitu halus, lembut dan terperinci penuh berperasaan sekali gus membuktikan ketajaman akal wanita Arab itu. Malah ada satu riwayat menceritakan Saidina Ali Abu Talib pernah ditanya, “mengapa tiada seorang pun yang dapat menceritakan sifat Rasulullah seperti yang disifatkan oleh Ummi Ma’bad?” Dan Ali menjawab, “kerana kaum wanita sentiasa mensifatkan seseorang dengan perasaannya, maka dia mendapati semua di dalam sifat-sifatnya.”
Comments
Post a Comment