Dr. Yusuf al-Qardhawi
Membincangkan wacana pemikiran Islam moden, kita tidak boleh mengabaikan nama Dr. Yusuf al Qardhawi. Ini kerana pemikiran-pemikirannya yang bijak disokong oleh dalil-dalil yang kuat, banyak dijadikan rujukan oleh umat Islam, terutama dalam menghadapi permasalahan semasa. Banyak buku ulama kelahiran Mesir ini yang beredar di rantau ini. Antaranya, Fatwa-fatwa Kontemporari, Islam Ekstrem, Menyatukan Pemikiran Pejuang Islam, Ulama versus Tirani, dan Agenda Permasalahan Umat.Pada pandangan Qardhawi, umat Islam sudah lama menghidap krisis identiti yang akut akibat perang pemikiran (ghazwul fikr) Barat yang tidak mengkehendaki Islam bangkit semula. Umat Islam kini seolah-olah sudah tidak percaya lagi kepada agamanya sendiri, justeru lebih percaya kepada peradaban Barat. Sebab itu umat Islam masih di bawah cengkaman peradaban Barat.Qardhawi adalah salah seorang intelektual yang tidak jemu-jemunya menggilap maruah umat Islam dengan cara secara berterusan menyebarkan pemikiran Islam yang benar dan tidak menyimpang. Beliau tidak hanya aktif dalam penyebaran pemikiran melalui buku-buku karangannya yang pelbagai, tetapi juga melalui seminar-seminar di peringkat antarabangsa. Yang lebih menakjubkan lagi adalah, prinsip hidupnya yang sangat kukuh dalam memegang kebenaran dan prinsip Islam, walaupun ada ketikanya menghadapi tekanan dari pihak-pihak tertentu.Selain itu Qardhawi amat kritis terhadap pelbagai propaganda pemikiran Barat mahupun Timur, termasuk pemikiran salah daripada umat Islam sendiri. Malah beliau tidak berasa malu berbeza pendapat dengan senior-seniornya dalam pergerakan Islam seperti Sayyid Quthb, antara tokoh utama gerakan Islam moden Ikhwanul Muslimin. Qardhawi berani mengkritik pemikiran Sayyid Quthb dalam bukunya yang amat popular "Ma'alim Fii al-Thariiq" (Papan Tanda Sepanjang Jalan).Bagi Qardhawi, perbezaan pendapat adalah sesuatu yang tidak mungkin untuk dihalang. Ini kerana selama terdapat sebab-sebab yang membolehkannya, maka perbezaan itu tidak akan pernah berakhir. Malah beliau berpendapat, sikap taksub yang terdapat pada sesetengah umat Islam, sering menimbulkan suasana yang tidak tenteram dan merugikan umat Islam sendiri. Ini kerana masing-masing dengan penuh semangat mempertahankan pendapat masing-masing dan menganggap pendapat merekalah yang paling benar. Mereka menyangka, pendapat mereka adalah ajaran agama dan apabila seseorang mengikut atau menentangnya mereka mendapat pahala atau seksa. Sebab tu dengan sekuat tenaga mereka menjadikan pendapat-pendapat tersebut sebagai kebenaran yang mutlak dan menolak sekiranya berlaku perbezaan. Bagi beliau ini adalah sikap yang tercela, kerana sikap ini akan menimbulkan sikap taksub yang berlebihan sehingga menghalang berlakunya perbezaan pendapat sebagaimana yang dibenarkan oleh agama Islam.Perbezaan pendapat akan sentiasa wujud kerana agama Islam tidak mengongkong pentafsiran yang menghasilkan kesimpulan yang berbeza. Selagi pentafsiran itu berasaskan sumber hukum yang dibenarkan, maka perbezaan ini akan sentiasa berkembang. Perbezaan seorang alim yang mengambil rukhsah (keringanan hukum) dengan mengambil 'azimah (sesuai dengan perintah hukum syarak), atau yang mengambil hukum dengan berhati-hati (al-ahwath) dengan yang mengambilnya dengan cara lebih mudah (al-aysar), tidak mungkin dipertemukan sehingga hari kiamat.Para sahabat juga berbeza pendapat antara mereka. Namun hal itu tidak menjadikan mereka saling bercakaran, bahkan mereka dengan tenteram hidup dalam alam perbezaan itu. Mereka bersembahyang berimamkan yang lain tanpa syak wasangka dan caci-maki.Dalam hal ini Qardhawi sangat kecewa dengan sikap sesetengah umat Islam yang tidak dapat membezakan antara perbezaan pendapat yang terpuji dan tercela berpandukan syariat. Pandangan-pandangan Qardhawi yang tajam dalam hal perbezaan yang terpuji dan tercela ini, telah dipaparkannya dalam buku As-Shahwah al-Islamiyah baina al-ikhtilaf al-masyru' wa al-tafarruq al-madzmum (Kebangkitan Islam antara Perbezaan yang Terpuji dan yang Tercela). Atau dalam sebuah bukunya yang lain Awaamil sa'sah wa al-muruunah fii al-syariah al-Islamiyah (Elemen-elemen Fleksibiliti dalam Syariah Islam).Dilahirkan di sebuah desa kecil di Mesir, iaitu desa Shafth Turaab pada 9 September 1926. Semasa berusia 10 tahun, ia sudah hafal al-Qur'an. Selepas tamat belajar di Ma'had Thanta dan Ma'had Tsanawi, Qardhawi melanjutkan pelajarannya ke Universiti al-Azhar, Fakulti Usuluddin dan menamatkan pengajian pada tahun 1952. Ia menamatkan pengajian di peringkat doktor falsafah pada tahun 1972 dengan kajian "Zakat dan Peranannya dalam Membenteras Kemiskinan", yang kemudian disempurnakannya menjadi buku Fekah Zakat. Inilah buku yang sangat terperinci membahaskan permasalahan zakat dalam konteks kehidupan moden.Punca ia terlambat menamatkan pengajiannya di peringkat doktor falsafah adalah kerana beliau terpaksa meninggalkan Mesir akibat tekanan pihak berkuasa ketika itu. Qardhawi terpaksa berhijrah ke Qatar pada tahun 1961 dan di sana ia sempat menubuhkan Fakulti Syariah di Universiti Qatar. Pada masa yang sama, ia juga menubuhkan Pusat Kajian Sejarah dan Sunnah Nabi. Ia kemudian memperoleh kewarganegaraan Qatar dan menjadikan Doha sebagai tempat tinggalnya.Dalam perjalanan hidupnya, Qardhawi pernah merasai "didikan" penjara semasa mudanya. Ketika Mesir diperintah oleh Raja Farouk, pada tahun 1949 Qardhawi didakwa dan kemudiannya dipenjarakan kerana dituduh terbabit dalam gerakan Ikhwanul Muslimin. Ketika itu umurnya 23 tahun. pada April tahun 1956, ia ditangkap semula semasa berlakunya Revolusi Jun di Mesir. Ia kemudiannya menghuni penjara tentera selama dua tahun.Walaupun telah melalui pelbagai peristiwa pahit, Qardhawi tetap lantang dan berani menyuarakan pendapatnya terutama dalam khutbah-khutbahnya sehingga ia pernah dilarang menjadi khatib di sebuah masjid di daerah Zamalik. Alasannya, khutbah-khutbahnya dianggap mempengaruhi pandangan awam terhadap ketidakadilan rejim yang memerintah ketika itu.Dr. Qardhawi kini memiliki tujuh orang anak, empat perempuan dan tiga lelaki. Sebagai seorang ulama yang sangat disegani, ia mempunyai sikap yang sangat terbuka dalam pendidikan anak-anaknya. Bagi beliau anak-anak bebas memilih bidang dan institusi pendidikan yang sesuai dengan minat dan bakat masing-masing. Dan hebatnya lagi, dia tidak membezakan pendidikan yang harus dipilih oleh anak-anak perempuan dan anak lelakinya.Salah seorang anak perempuannya memperoleh gelaran doktor fizik dalam kajian nuklear di England. Anak perempuan keduanya memperoleh gelaran doktor dalam jurusan kimia juga di England. Manakala yang ketiga masih menyelesaikan pengajian di peringkat doktor falsafah. Sedangkan yang keempat telah menamatkan pengajian di peringkat sarjana di Universiti Texas, Amerika. Anak lelakinya yang pertama sedang menuntut di peringkat doktor falsafah di bidang teknologi di Amerika, yang kedua belajar di Universiti Darul Ulum Mesir sedangkan yang bongsu telah menamatkan pengajiannya di Fakulti Elektrikal.Melihat kepada latar belakang pendidikan yang dipilih anak-anaknya, kita boleh membaca sikap dan pandangan Qardhawi terhadap pendidikan moden. Daripada tujuh orang anaknya, hanya seorang yang belajar di Universiti Darul Ulum Mesir dalam pengajian aliran agama. Sedangkan yang lainnya memilih aliran sains san teknologi dan kesemuanya belajar di luar negara, iaitu negara-negara barat. Ini disebabkan Qardhawi merupakan seorang ulama yang menolak pembahagian ilmu secara sempit. Bagi beliau, semua ilmu boleh dianggap Islam dan sebaliknya, bergantung kepada orang yang menilai dan mempergunakannya. Pemisahan ilmu secara sempit menurut Qardhawi telah menghalang kemajuan umat Islam.Bagi Qardhawi, peradaban tentang sesuatu bangsa dan agama boleh maju jika peradaban tersebut bijak menyerap hal-hal positif daripada tamadun bangsa yang lebih maju, dengan syarat tidak meninggalkan jati diri dan ajaran Islam. Qardhawi menganggap, kemajuan peradaban mana pun amat tergantung pada manusianya. Begitu jugalah semangat untuk memajukan peradaban Islam, ia diusahakan dengan memajukan umat dalam pelbagai bidang keilmuan.Peradaban Islam yang mundur dalam pandangan Qardhawi adalah berpunca kerana umat Islam jahil dalam pelbagai bidang ilmu yang menjadi asas kemajuan masyarakat. Islam menjadi ajaran yang telah disempitkan dengan pelbagai bidang ilmu khusus, sehingga tidak lagi menggambarkan sebagai satu ajaran yang universal. Jadi keagungan Islam dimundurkan oleh umatnya sendiri yang menganggap ilmu-ilmu Islam itu hanya dalam ilmu-ilmu yang berkaitan dengan fardu ain sahaja dan mereka mengabaikan tuntutan fardu kifayah.Dalam buku-buku yang ditulisnya, Qardhawi selalu menyeru umat Islam kepada pemikiran moderat dan sangat anti pemikiran ekstremisme. Dia selalu mencanangkan keagungan Islam dalam semua aspek kehidupan. Bagi beliau, Islam selalu menggalakkan umatnya bersikap terbuka dan sederhana. Sebagai ulama yang sangat arif terhadap tuntutan al-Qur'an dan sunnah Nabi, Qardhawi sangat fleksibel dalam memandang ajaran Islam. Sikap kritisnya dalam memahami ajaran Islam ini sangat membantunya untuk selalu bersikap arif dna bijak. Namun pada saat yang sama, sangat kuat dalam mempertahankan pendapat-pendapatnya yang digalinya daripada al-Qur'an dan hadith.Kini Dr. Qardhawi tidak jemu-jemu mencanangkan pemikiran Islam sebagai agama yang sederhana. Islam amat menghargai perbezaan sebagai fenomena sosial yang tidak mungkin disekat dan dihapuskan. Tidak hairan jika Qardhawi sangat anti terhadap gerakan-gerakan Islam yang bercorak militan yang suatu ketika dulu tergamak membunuh para pelancong barat yang sedang melancong di bumi Mesir, tanpa alasan yang jelas dan diterima akal. Tindakan seperti itu, dianggapnya sebagai tindakan ganas yang hanya memburukkan maruah dan nama baik umat Islam. Islam sebagai agama yang cintakan kedamaian dan sangat berperikemanusiaan dalam melayan seseorang tidak kira bangsa dan agamanya, telah dikotori oleh semangat barbarian yang suka menumpahkan darah.Bagaimanapun Qardhawi juga mengingatkan semua pihak bahawa tindakan ganas itu adakalanya berpunca bukan kerana keinginan mereka. Tindakan tersebut timbul disebabkan kemerdekaan mereka telah dirampas oleh para penguasa yang tidak memberikan peluang pada mereka melaksanakan keyakinan seperti yang mereka yakini.
Comments
Post a Comment