Bahan penulisan Bapa Kimia Dunia diguna hingga kini


BAPA Ilmu Kimia Dunia, Abu Musa Jabir Ibnu Hayyan, turut menyumbang kepada proses menyediakan pelapisan bahan antiair pada pakaian serta campuran bahan cat dan gris.

Selain itu, beliau mengembangkan teknik peleburan emas dengan menggunakan bahan aqua regia.

Idea eksperimen Jabir sekarang menjadi dasar untuk mengklasifikasikan unsur kimia terutama pada bahan logam, bukan logam, dan penguraian bahan kimia.

Beliau merumuskan tiga bentuk berbeza daripada bahan kimia berdasarkan unsur-unsurnya:

Cecair (spirit), yakni yang mempengaruhi pengewapan pada proses pemanasan, seperti pada bahan kapur barus (camphor), arsenik, dan ammonium klorida.

Logam, seperti emas, perak, timah, tembaga, besi.

Bahan campuran, yang boleh ditukar menjadi serbuk.

Jabir cukup terkenal kerana hasil penulisan yang melebihi daripada seratus risalah dan diabadikan sehingga kini. Ada 22 risalah yang antaranya berkaitan dengan alkimia (Al-Kimiya daripada bahasa Arab) dan ilmu kimia.

Beliau yang memperkenalkan model penelitian dengan cara eksperimen di dunia alkimia atau dalam erti kata lain, beliau yang menjana momentum bagi perkembangan ilmu kimia moden.

Pada abad pertengahan, risalah Jabir dalam bidang ilmu kimia, termasuk kitabnya yang masyhur iaitu Kitab Al-Kimya dan Kitab Al-Sab'een, diterjemahkan ke bahasa Latin.

Bahkan terjemahan Kitab Al-Kimya diterbitkan oleh orang Inggeris, Robert Chester pada 1444, dengan judul The Book of the Composition of Alchemy.

Buku kedua, Kitab Al-Sab'een diterjemahkan oleh Gerard dari Cremona sementara Berthelot pula menterjemahkan beberapa buku beliau antaranya dikenali dalam judul Book of Kingdom, Book of the Balances dan Book of Eastern Mercury.

Pada 1678, seorang berbangsa Inggeris iaitu Richard Russel mengalih bahasakan karya Jabir yang lain dengan judul Sum of Perfection.

Berbeza dengan pengarang sebelumnya, Richard adalah yang pertama kali menyebut Jabir dengan sebutan Geber dan memuji ilmuwan itu sebagai seorang pendeta Arab dan ahli falsafah.

Buku Richard kemudiannya menjadi sangat popular di Eropah selama beberapa abad lamanya dan telah memberi impak serta pengaruh besar kepada evolusi ilmu kimia moden.

Sungguhpun begitu, daripada semua karyanya, hanya sedikit saja yang diterjemah manakala sebahagian besar karyanya masih kekal dalam bahasa Arab.

Comments

Popular posts from this blog

Profil Vitalia Sesha Model Di Kasus Suap Daging Impor - Tercanggih

Profile dan biodata Angkasa Band

Talent Pilihan SlideGossip : Andrean Saputra