Ibn Haitham kuasai ilmu perubatan mata, cahaya

SEJARAH membuktikan dunia Islam melahirkan ramai golongan sarjana dan ilmuwan yang cukup hebat dalam bidang falsafah, sains, politik, kesusasteraan, kemasyarakatan, agama dan perubatan.

Salah satu ciri yang dapat diperhatikan pada ilmuwan Islam ialah mereka tidak sekadar dapat menguasai ilmu itu pada usia muda, malah dalam masa singkat menguasai beberapa bidang ilmu secara serentak.


Tokoh itu walaupun lebih dikenali dalam bidang sains dan perubatan, namun turut memiliki kemahiran tinggi dalam bidang agama, falsafah dan seumpamanya.


Seorang daripada tokoh itu ialah Ibn Haitham atau di kalangan cerdik pandai Barat dikenali dengan nama Alhazen.


Ibn Haitham memulakan pendidikan awalnya di Basrah sebelum dilantik menjadi pegawai pemerintah di bandar kelahirannya.


Selepas beberapa lama berkhidmat dengan pihak pemerintah di sana, beliau mengambil keputusan merantau ke Ahwaz dan Baghdad. Di perantauan beliau melanjutkan pengajian dan menumpukan perhatian pada penulisan.


Kecintaannya kepada ilmu membawanya berhijrah ke Mesir. Ketika di sana beliau mengambil kesempatan melakukan beberapa kerja penyelidikan mengenai aliran dan saliran Sungai Nil serta menyalin buku mengenai matematik dan falak. Tujuannya untuk mendapatkan wang saraan pengajiannya di Universiti al-Azhar.


Hasil usaha itu, beliau menjadi seorang yang amat mahir dalam bidang sains, falak, matematik, geometri, perubatan dan falsafah. Tulisannya mengenai mata, menjadi salah satu rujukan yang penting dalam bidang pengajian sains di Barat.


Malah, kajiannya mengenai perubatan mata menjadi asas kepada pengajian perubatan moden mengenai mata. Ibn Haitham adalah ilmuwan yang gemar melakukan penyelidikan.


Penyelidikannya mengenai cahaya memberikan ilham kepada ahli sains Barat seperti Boger, Bacon dan Kepler mencipta mikroskop serta teleskop. Beliau adalah orang pertama yang menulis dan menemui pelbagai data penting mengenai cahaya.


Beberapa buku mengenai cahaya yang ditulisnya diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris antaranya ialah Light dan On Twilight Phenomena. Kajiannya banyak membahaskan mengenai senja dan lingkaran cahaya di sekitar bulan dan matahari serta bayang-bayang dan gerhana.


Menurut Ibn Haitham, cahaya fajar bermula apabila matahari berada pada garis 19 darjah di ufuk timur. Warna merah pada senja pula akan hilang apabila matahari berada di garis 19 darjah ufuk barat.


Dalam kajiannya, beliau juga berjaya menghasilkan kedudukan cahaya seperti bias cahaya dan pembalikan cahaya.


Ibn Haitham melakukan percubaan terhadap kaca yang dibakar dan dari situ terhasillah teori lensa pembesar. Teori itu digunakan oleh saintis di Itali untuk menghasilkan kanta pembesar yang pertama di dunia.


Lebih menakjubkan ialah Ibn Haitham menemui prinsip isi padu udara sebelum seorang saintis yang bernama Trricella mengetahui perkara itu 500 tahun kemudian. Ibn Haitham juga menemui kewujudan tarikan graviti sebelum Isaac Newton mengetahuinya.


Selain itu, teori Ibn Haitham mengenai jiwa manusia sebagai satu rentetan perasaan yang bersambung secara teratur memberikan ilham kepada saintis Barat untuk menghasilkan wayang gambar. Teori beliau membawa kepada penemuan filem yang kemudiannya disambung dan dimainkan kepada penonton seperti kita tontoni pada masa kini.


Selain sains, Ibn Haitham banyak menulis mengenai falsafah, logik, metafizik dan persoalan yang berkaitan dengan keagamaan. Beliau turut menulis ulasan dan ringkasan terhadap karya sarjana terdahulu.


Penulisan falsafahnya tertumpu kepada aspek kebenaran dalam masalah yang menjadi pertikaian.


Padanya pertikaian dan pertelingkahan mengenai sesuatu perkara berpunca daripada pendekatan yang digunakan dalam mengenalinya.


Beliau juga berpendapat bahawa kebenaran hanya satu. Oleh sebab itu semua dakwaan kebenaran wajar diragui dalam menilai semua pandangan yang sedia ada. Jadi, pandangannya mengenai falsafah amat menarik untuk disoroti.


Bagi Ibn Haitham, falsafah tidak boleh dipisahkan daripada matematik, sains, dan ketuhanan. Ketiga-tiga bidang dan cabang ilmu ini harus dikuasai dan untuk menguasainya seseorang itu perlu menggunakan waktu mudanya dengan sepenuhnya. Apabila umur semakin meningkat, kekuatan fizikal dan mental akan turut mengalami kemerosotan.


Ibn Haitham membuktikan pandangannya apabila beliau begitu ghairah mencari dan mendalami ilmu pengetahuan pada usia mudanya. Beliau berjaya menghasilkan banyak buku dan makalah. Antaranya:


- Al'Jami' fi Usul al'Hisab yang mengandungi teori ilmu matematik dan matematik penganalisaannya.


- Kitab al-Tahlil wa al'Tarkib mengenai ilmu geometri


- Kitab Tahlil ai'masail al 'Adadiyah mengenai algebra


- Maqalah fi Istikhraj Simat al'Qiblah yang mengupas mengenai arah kiblat bagi segenap rantau


- Maqalah fima Tad'u llaih mengenai penggunaan geometri dalam urusan hukum syarak.


l Risalah fi Sina'at al-Syi'r mengenai teknik penulisan puisi.


Sumbangan Ibn Haitham kepada ilmu sains dan falsafah amat banyak. Beliau dikenali sebagai seorang yang miskin dari segi material tetapi kaya dengan ilmu pengetahuan.


Bagaimanapun sebahagian karyanya lagi dicuri dan dicedok oleh ilmuwan Barat tanpa memberikan penghargaan yang sewajarnya kepada beliau.


Kajian Ibn Haitham menyediakan landasan kepada perkembangan ilmu sains.


Pada masa yang sama tulisannya mengenai falsafah membuktikan keaslian pemikiran sarjana Islam dalam bidang ilmu itu yang tidak lagi dibelenggu oleh pemikiran falsafah Yunani.

Comments

Popular posts from this blog

Profil Vitalia Sesha Model Di Kasus Suap Daging Impor - Tercanggih

Profile dan biodata Angkasa Band

Talent Pilihan SlideGossip : Andrean Saputra