Amru bin Al-As ra

Riwayat hidup beliau:
- Amru bin Al-As dilahirkan sekitar setengah kurun sebelum Hijrah.

Sifat peribadi beliau:

- Amru r.a adalah merupakan salah seorang yang tergolong di dalam kalangan orang Arab yang cerdik serta salah seorang yang pintar, unik dan sangat ganjil.
- Amru bin Al-As adalah merupakan seorang yang lantang dan fasih bercakap.
- Beliau memiliki kemampuan berfikir dan berpandangan jauh.
- Bapa beliau pula iaitu Al-As bin Wail adalah merupakan seorang yang mempunyai ketokohan di kalangan bangsa Arab malah dia merupakan salah seorang pemimpin bangsa Arab pada zaman jahiliah.
- Amru bin Al-As telah meninggalkan sirah perjalanan yang sangat mengagumkan dan menyibukkan masyarakat dunia bertahun-tahun lamanya.
- Ketika sebahagian dari kalangan umat Islam berhijrah ke tempat raja Najasyi di Habsyah setelah mendapat keizinan daripada Rasulullah s.a.w, bangsa Quraisy tidak mempunyai orang yang paling layak untuk memujuk Najasyi supaya mengembalikan umat Islam yang telah berhijrah kecuali Amru bin Al-As untuk memikul tugas tersebut kerana mereka mengetahui bahawa beliau adalah merupakan seorang yang sangat pintar dan mempunyai hubungan yang baik dengan Najasyi. Tetapi apabila Najasyi mendengar kata-kata Amru bin Al-As kemudian mendengar pula kata-kata umat Islam yang berhijrah ke tempatnya, Najasyi merasa penuh yakin dan tenang serta memahami akidah kepercayaan mereka serta hatinya merasa tertarik kepada Islam menyebabkan dia memeluk Islam selepas itu.

Pengislaman beliau:

- Apabila Amru ingin pulang, Najasyi menyeru beliau supaya memeluk Islam sambil menjelaskan kepada beliau betapa besar kurniaan yang telah diberikan oleh Allah kepada bangsa Arab dengan mengutuskan Nabi Muhammad s.a.w sebagai seorang Rasul. Nasihat yang begitu berharga yang telah diberikan oleh seorang raja ternyata memberi kesan yang mendalam di dalam hati sanubari Amru bin Al-As menyebabkan dia mula tertarik kepada Islam dan akhirnya Allah membuka pintu hati beliau untuk menerima hidayat petunjuk Islam pada tahun 8 Hijrah.
- Amru telah berazam ingin musafir untuk berjumpa dengan Rasulullah s.a.w di Madinah. Di tengah-tengah perjalanan beliau bertemu dengan Khalid bin Al-Walid dan Othman bin Talhah. Beliau mendapati mereka berdua juga mempunyai niat yang sama.
- Sebaik sahaja mereka bertiga masuk berjumpa dengan Rasulullah s.a.w, Khalid dan Othman terus berbaiah dengan baginda, sebaliknya Amru hanya menggenggam erat tangan baginda sahaja sehinggalah Rasulullah s.a.w bersabda kepada beliau: "Kenapa kamu ini wahai Amru?" Lalu beliau berkata: "Aku berbaiah dengan kamu sekiranya Allah mengampunkan dosa-dosa aku yang telah lalu." Kemudian baginda menjawab: "Sesungguhnya Islam dan Hijrah menghapuskan perkara-perkara yang telah lalu." Lantas Amru r.a terus berbaiah dengan baginda. Apabila Rasulullah s.a.w mengetahui kepintaran dan keperkasaan beliau, baginda terus melantik beliau menjadi panglima tentera Islam di dalam peperangan Zaat As-Salasil.

Perjuangan beliau pada jalan Allah:

- Selepas kematian Rasulullah s.a.w, Amru r.a mempunyai peranan penting di dalam memerangi golongan murtad pada zaman pemerintahan Sayidina Abu Bakar As-Siddiq.
- Manakala pada zaman pemerintahan Sayidina Umar bin Al-Khattab r.a, pahlawan Islam Amru bin Al-As berjaya membuka Palestine dan Mesir malah kepentingan kedua-dua pembukaan ini tidak dapat dinafikan lagi kerana pembukaan Palestine dapat memberikan keamanan kepada kawasan persisiran pantai Syam terhadap umat Islam dan pembukaan Mesir pula berjaya memberi laluan untuk menuju ke Afrika, negeri-negeri di Moroko seterusnya ke Sepanyol selepas itu.
- Kecerdikan dan kepintaran Amru terlalu menyerlah di dalam pembukaan Mesir sehingga menakjubkan ahli-ahli sejarah termasuk dari kalangan bukan Islam terutamanya kebijaksanaan dan perancangan beliau yang begitu baik.

Di antara mutiara kata beliau dan seni sastera beliau:

- Lelaki adalah terdiri dari tiga kategori: Lelaki yang sempurna, lelaki yang bersifat separuh lelaki dan lelaki yang tidak bersifat lelaki. Lelaki yang sempurna adalah lelaki yang disempurnakan oleh Allah agama dan akalnya, apabila dia ingin membuat sesuatu keputusan, dia sentiasa meminta pandangan daripada orang-orang yang mempunyai pandangan menyebabkan dia sentiasa membuat keputusan yang tepat. Manakala lelaki yang bersifat separuh lelaki pula adalah lelaki yang tidak disempurnakan oleh Allah agama dan akalnya, apabila dia ingin membuat sesuatu keputusan, dia tidak meminta pandangan daripada sesiapapun sebaliknya dia berkata: "Sesiapa sahaja aku boleh mengikuti dan menggunakan pandangannya mengikut kesesuaian", menyebabkan kadangkala dia membuat keputusan yang tepat dan kadangkala dia membuat keputusan yang salah. Adapun lelaki yang tidak bersifat lelaki pula ialah lelaki yang tidak mempunyai agama dan akal fikiran sedikitpun menyebabkan dia sentiasa membuat tindakan yang silap. Kemudian Amru berkata: " - Beliau pernah berkata pada hari-hari terakhir usia beliau: "Aku pernah berada di dalam tiga keadaan bahkan aku mengetahui kedudukan diri aku di dalam ketiga-tiga keadaan tersebut: Suatu ketika dahulu aku berada di dalam kekafiran, sekiranya aku mati pada masa tersebut sudah tentu aku akan dimasukkan ke dalam neraka. Selepas aku berbaiah dengan Rasulullah s.a.w, aku menjadi seorang yang sangat pemalu kepada baginda sehingga aku tidak pernah melihat baginda dengan sepenuh pandangan aku, sekiranya aku mati pada masa tersebut sudah tentu orang ramai akan berkata: Tahniah kepadamu Amru! Memeluk Islam dalam keadaan baik dan mati juga dalam keadaan baik. Kemudian aku diselubungi dengan sesuatu yang aku sendiri tidak mengetahui adakah ia akan dihitung sebagai keburukan ke atas aku atau ia dihitung sebagai kebaikan untuk aku?"

Kelebihan beliau:

- Imam Ahmad dan Tirmizi meriwayatkan sesungguhnya Nabi s.a.w telah bersabda tentang beliau: Orang yang paling kuat Iman dan Islam adalah Amru bin Al-As.

Kematian beliau:

Beliau meninggal dunia pada tahun 43 Hijrah selepas menghabiskan usia dan perjalanan hidup yang panjang.

Comments

Popular posts from this blog

Profile dan biodata Angkasa Band

Profil Vitalia Sesha Model Di Kasus Suap Daging Impor - Tercanggih

Talent Pilihan SlideGossip : Andrean Saputra